Sembilan Ramadhan tahun ni, genaplah setahun ayah pergi meninggalkan kami. Saya masih terbayang suasana di wad tingkat 7, Pusat Perubatan Universiti Malaya...
Pukul 4.30 petang 8 Ramadhan, saya mintak kebenaran kat boss nak balik awal sebab ayah tengah nazak... Sampai je situ, ayah dah separa sedar. Dah tak boleh bercakap, tak boleh bergerak. Cuma berbaring... dadanya berombak, tidak seperti hari sebelumnya, ayah masih mampu berbual pendek.
Mak cakap sejak semalam lagi ayah tak habis-habis mintak semua anak-anaknya berkumpul. Kami kerap melawat, cuma tidaklah datang sekali 5 beradik. Ikut kelapangan masing-masing. Kemuncaknya petang rabu tu la mak suruh kami segera turun. Actually hari sebelumnya (Selasa) saya dah ambil EL, tapi menengokkan condition ayah ok petang tu, so esoknya saya ke ofis seperti biasa.
Masih terbayang-bayang saat azan Maghrib berkumandang... kami semua berbuka dengan air masak je. Satu botol air mineral tu di pass-pass... Sebab semuanya tengah mengadap ayah, kami 5 beradik dan menantu2 mengelilingi katil, sibuk baca yasin untuk ayah. Keadaan masa tu tegang... tense sangat. Dah lepas Isyak barulah kami turun kejap ke kafe cari makan. Lepas tu naik semula, dan sambung bacaan yasin. Mak langsung taknak makan. Minum air sikit je. Mak cakap "dah kenyang".
Secara jujur, saya tak sanggup tengok ayah tercungap-cungap. Doktor cakap kanser dia dah merebak ke semua bahagian... termasuk otak. Ada satu tiub dimasukkan ke dalam tekak dan terus ke perut... untuk mencuci perut ayah. Yang keluar hanyalah air hitam. Ayah skinny sangat. Dah tak mampu makan. Cuma minum susu khas melalui tiub. Pada saya, kanser memang jahat!
Ramai jugak sedara-mara yang datang melawat malam tu setelah dikhabarkan condition ayah yang semakin tak menentu. Saya dan adik-beradik lain tak mampu nak buat apa-apa melainkan berdoa semoga Allah kurangkan kesakitannya. Yasin memang tak putus-putus.
Sampai la dalam pukul 3 pagi... saya terlalu mengantuk dan terlena di sofa depan. Tiba-tiba dikejutkan oleh adik-beradik lain. Waktu sahur 9 Ramadhan. Masa tu, abang saya baru nak turun beli makanan untuk sahur.
Ketika umat Islam di Malaysia sedang bersahur... ketika itulah Allah menjemputnya. Tenang. Senyum je.
Mak cakap, selama bertahun-tahun tiap kali ayah sakit teruk, dia tak pernah suruh kami 5 beradik datang sekaligus. Tapi permintaan 2 hari sebelum dia pergi... betul-betul permintaan yang terakhir sebab sehari sebelum tu, dia dah tak mampu berkata-kata lagi.
Pagi semalam, mak call saya, menangis-nangis... suruh ke kubur baca Yasin untuk ayah. Mak kat Jengka sekarang, sebab tu tak dapat pergi kubur di Kota Damansara. Setahun tu kejappp sangat rasanya. Malam sebelumnya saya tak boleh tidur. Anak dia yang paling degil dan 'nakal' ni teringatkan arwah ayah.
Syawal tahun ni mak tentu sepi sekali lagi tanpa ayah. Mak cakap nak raya kat Subang je sebab kubur ayah kat sini. Kena pulak giliran kami beraya di rumah mertua tahun ni. Lagi sepilah dia. Tahun lepas memang giliran kami semua berkumpul, cukup 5 beradik, cuma ayah je yang dah takde...
Semoga arwah ayah tenang di sana, dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman... Masih jelas terbayang mimpi saya bertemu ayah beberapa bulan yang lalu... Al-Fatihah buat Allahyarham Haji Abu Bakar bin Ngah Mat Drus...